Author: barakahislam
•Friday, January 22, 2010

Wahai makhluk Allah yang bernama perempuan dan isteri
Akan ku tanyakan tentang mu hari ini
dari secebis soalan yang ku anyam semalam
semoga akan ku perolehi jawapannya sebelum esok
kerana aku adalah pencari jawapannya...


Janganlah kamu gentar untuk menjawab
justeru aku bukannya penghukum
tetapi sekadar pengharap jawapan
sebelum masa ku terus berlalu
pun masa mu jua tidak akan mengundur waktu

Hitunglah seberapa banyak benci mu pada soalan ku
Tapi jangan sesekali kau permainkan jawapan mu
kerana lidah mu adalah warna kepada warni diri dan hati mu
sekali gus menyukat iman yang tiada dusta


Wahai makhluk Allah yang bernama perempuan dan isteri
meskipun kau dapat pisahkan sebak dari tangisan
meskipun kau dapat pisahkan senyum dari tawaan
namun bagi ku kalian sedikitpun tiada hebat
jika kalian tidak mampu memisahkan
antara jawapan dan ketidakjujuran

Pernahkan kau rasa redha mu terhadap suami tetap sama, bertambah atau semakin kurang bermula akad pertama hingga sekarang ? ataukah redha mu hanyalah sekadar mengikut apa yang kau perolehi darinya!

Pernahkah muka mu terasa panas dek dibakar bahang dapur demi sesuap nasi untuk santapan suami mu ? ataukah kulit mulus mu hanya sekadar perhiasan untuk dipertontonkan kepada alam sekeliling !

Pernahkah bibir merah mu mengukir senyum indah tatkala suami mu menegur dan menasihati akan kesilapanmu ? ataukah senyum mu akan terukir sekadar bila suami mu diam lantaran kemenangan mu membina alasan yang kamu rekakan !

Pernahkah jemarimu mengalirkan darah lantaran tercucuk jarum ketika menjahit pakaian suami mu yang koyak ? ataukah hati suami mu yang akan sakit berdarah lantaran tercucuk dek soalanmu yang sangat tajam !

Pernahkah tidurmu mengiringi lena suamimu ? ataukah dengkurmu menjadi racun yang mematikan segala hajat dan keperluan suamimu !

Pernahkah sebelum lenamu, kau susunkan seribu bahasa memohon kemaafan dari suamimu paling kurang pun untuk sekecil-kecil kesilapan sepanjang jaga mu ? ataukah kau sekadar ingin mengumpulkannya sehingga tiba menjelangnya hari raya !

Pernahkah kau korbankan sedikit penghujung lenamu untuk menyiapkan sarapan buat suamimu yang akan bertarung nyawa mencari rezeki buatmu ? ataukah kau cukup sekadar ucapkan perkataan "mengantuk" sebagai sajian yang kau bangga-banggakan !

Pernahkah kau rasakan mertuamu itu sebenarnya ibu dan bapa kepada suamimu yang sewajibnya kau sanjungi dan hormati ? ataukah kau hanya mengenali mereka sekadar batu besar yang menghalang jalan kebahagiaan keluargamu !

Wahai makhluk Allah yang bergelar perempuan dan isteri

sekali lagi ku ingin kepastian dari mu

diam mu itu kerana mengata akukah ?

atau sekadar merenung semalammu yang menyimpan segala jawapan !

This entry was posted on Friday, January 22, 2010 and is filed under , . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0 feed. You can leave a response, or trackback from your own site.

0 ngomen: