Author: barakahislam
•Saturday, August 07, 2010
Tersenyum aku sendiri
Pada burung yang terbang bebas meninggi
Justeru ku bayangkan
Ia membawa sejauh mungkin sedih sengsara dari hidupku


Tersenyum aku sendiri
Pada ikan yang berenang laju
Justeru ku bayangkan
Ia mengajarku erti bebas dan keyakinan

Tersenyum aku sendiri
Pada awan yang berarak lembut
Justeru ku bayangkan
Ianya simbol mengambil dan memberi


Tersenyum aku sendiri
Pada biru langit terhampar
Justeru ku bayangkan
Betapa indahnya kedamaian dan kelapangan


Tersenyum aku sendiri
Pada alunan merdu tangis sang bayi
Justeru ku bayangkan
Itulah zikir yang mampu ia persembahkan
Sementara menanti susu si ibu

Tersenyum aku sendiri
Pada bersih warna putih
Justeru ku bayangkan
Suatu persamaan yang lumrah
Penghubung antara kasih sayang dan tangisan
Pembuka dan penutup sebuah kewujudan
Kelahiran dan kematian....

Author: barakahislam
•Wednesday, July 21, 2010


Ya Allah, Jadikanlah pangkat dan kedudukanku itu sebagai wasilah untuk mendekatkan diriku kepadaMu...Janganlah Kau jadikan pangkat, jawatan dan kedudukanku sebagai penghalang antara Engkau dan aku

serta menghalang orang2 yang ingin mendekatkan diri mereka kepada Engkau.....
Amiiin Ya Rabbal 'aalamin.
Author: barakahislam
•Saturday, July 03, 2010





Lafaz Yang Tersimpan


Luluh hatiku yang sayu
Menatap wajahmu tenang dalam lena
Kasih lahirkan laku
Sedangkan bibirku jauh dari lafaznya


Dan raut tuamu membekas jiwaku
Meredakan rindu mendamaikan kalbu
Tak mungkin kutemu iras sentuhanmu
Biarpun ku redah seluruh dunia mencari gantimu


Betapa sukarnnya menyusun bicara
Meluahkan rasa menuturkan sayang
Kasih sayang yang terlimpah hanya sekadar tingkah
Cuma ungkapan kebisuan yang melindungkan kalimah rahsia

Masih kubiarkan waktu
Melarikan lafaz kasihku pada mu


Apakah yang hilang andai dilisankan
Bait penghargaan penuh kejujuran
Tak mungkin terlihat cinta yang merona
Jika hanya renungan mata yang bersuara
Bukan tutur kata


Tiada lagi ertinya pengucapan
Andai akhir nafas di hujung helaan
Sebelum mata rapat terpejam
Usah biar kehilangan
Menggantikan lafaz yang tersimpan...
Author: barakahislam
•Saturday, June 12, 2010
Mengapa Untuk Dilukai


Aku pun punya sekeping hati
Seperti lelaki lain yang sentiasa senyum
Bangga yang terisi dalam bahagia
Ingin selamanya....

Mengapa itu jua yang kau ingin lukai
Padahal dalam renungku tiada tikaman
Pada lidahku tiada hirisan
Pada jemariku tiada cengkaman
Pada soalanku tiada paksaan
Pun jauh sekali dariku membeban sejuta galasan
Membelah enak di bahumu

Masih ku ingat dalam bayangan
Hingga ku pahat menjadi kenangan
Dalam sesaat menghabisi malamku
Dalam sesaat menunggu sinsing fajarku
Hanya degup jantung mentafsir segalanya
Hatiku parah...berdarah...tangis terhiris
Dalam kelam kabus tirai gerimis

Termanggu aku di hujung pertimbangan
Apakah alam sedang menangisiku
Ataukah aku yang bakal menangisi
Mencari jejak pemergianmu

Ya Allah berikan aku serumpun ketabahan
Untuk kucipta tongkat kesabaran
Kerana aku perlu terus melangkah
Bersama menuju pintu redhaMu.....

*Hakcipta nukilan terpelihara: barakahislam

Author: barakahislam
•Monday, February 08, 2010
Al Ahnaf bin Kias adalah seorang ulama yang terkenal semasa hidupnya. Pada suatu hari seorang pemuda telah datang menziarahinya. Kediamannya sering dikunjungi oleh mudir-murid serta sahabat-sahabatnya yang datang untuk mendapatkan ilmu dan pengajaran daripadanya. Kedatangan pemuda itu telah menarik perhatian ulama tersebut kerana beliau mendapati pemuda itu sangat tampan dan kacak lalu beliau pun bertanya:

"Wahai orang muda, adakah engkau menghiasi wajahmu dengan sesuatu?"

"Benar tuan, saya memang ada menghiasi wajah saya dengan sesuatu."Jawab pemuda itu dengan sopan dan ringkas. Kemudian dia menyambung:

"Kalau bercakap saya tidak bohong, kalau ada orang bercakap saya dengar, kalau saya berjanji saya tepati dan kalau saya diberi amanah saya tidak khianati."
Berkata Al Ahnaf:
"Benar seperti apa yang engkau kata wahai orang muda. Sesungguhnya kau telah hiasi dirimu dengan akhlak yang tinggi dan terpuji."